BERKATA DENGAN PERKATAAN BAIK

Published April 8, 2011 by admin in Mutiara Iman

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik. “ (Surah Al Baqarah : 83 ) 

ULASAN AYAT : 

  1. Syeikh Ali Assobuni menyatakan : ” Perkataan yang baik dengan merendahkan suara, bahasa yang lembut dan ucapan yang sedap didengari. ” Di dalam ayat di atas menyatakan kepada kita agar bertutur dan berinteraksi sesama manusia dengan perkataan yang baik. 
  2. Ramai dikalangan manusia pada hari ini, perkataan dan bicara sudah hilang arah. Bercakap dan bertutur mengikut kehendak hati tanpa berfikir terlebih dahulu. 
  3. Sesungguhnya perkataan seseorang itu ketika berbicara melambangkan peribadi dirinya. Berkata-kata dengan perkataan yang  baik adalah lambang akhlak seseorang. 
  4. Sepertimana akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi SAW, Baginda SAW tidak pernah sama sekali menyakiti hati Para sahabat dengan lidah Baginda SAW. Termasuklah ketika Baginda SAW bergurau senda mahupun ketika marah. Apa yang terzahir dari tutur kata Baginda SAW akan melegakan hati sesiapa sahaja yang berbicara dengan Baginda SAW sekalipun orang kafir. 
  5. Demikian itu, marilah kita sama-sama memperindahkan akhlak kita dalam berbicara dan menuturkan perkataan, cuba dan usaha sedaya upaya untuk menggunakan perkataan yang baik kepada orang lain, seandainya kita tersalah kata di atas kelalaian serta kesalahan kita, hendaklah kita memohon kemaafan, dan sekiranya kita disakiti dengan kata-kata yang tidak baik, jangan membalas dengan perkataan yang tidak baik, bahkan balasilah dengan perkataan yang  baik dan buktikan ianya dengan tingkah laku yang baik serta berdamai. Maka hasilnya kita akan memiliki hati dan jiwa yang lapang. insyaALLAH. WALLAHU’ALAM 

 

Loading Facebook Comments ...